Istilah melayu kini sudah tidak percayakan PAS tapi masih belum sayangkan UMNO saya rasa agak sesuai menggambarkan situasi keadaan politik orang melayu kini, ini kerana dalam keadaan PAS kelihatan lebih bergantung kepada sokongan bukan melayu kini dan UMNO masih mampu memenangi hati majoriti melayu, walau dalam keadaan dikritik hebat dalam soal kepimpinanya. Melayu hanya mengundi UMNO kerana mereka tiada pilihan yang wajar untuk meneruskan kelangsungan kuasa, kerana jika dilihat PAS hanya menumpang dalam PAKATAN RAKYAT itu sendiri. Lihat sahaja tindak tanduk PAS dalam pelbagai isu semuanya dibawah bimbingan parti PKR atau DAP.
Tetapi UMNO dilihat gagal mengambil kesempatan dari kelemahan yang jelas nyata dalam Pakatan Rakyat ini dalam menarik sokongan rakyat hanya disebabkan terlalu banyak berlembut dan tunduk kepada desakan Pakatan Rakyat yang menaungi pelbagai NGO, sebagai contoh dalam pemansuhan ISA dan segala akta yang banyak membantu negara sampai ketahap sekarang. Kerana ingin dilihat fleksibel dan mesra rakyat, UMNO menganggap segala desakan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat ini adalah desakan rakyat dan rakyat akan berpuas hati jika mereka menurutinya lalu pihak pembangkang menjadi tiada isu untuk dicanang kepada umum. UMNO lupa bahawa Pembangkang tidak akan berpuas hati walau apa yang Kerajaan lakukan dan mencari segala macam idea untuk mengambil tampuk pemerintahan negara atas nama rakyat.
Kegagalan ini, secara peribadi saya melihat adalah berpunca dari ramai mereka yang menjawat jawatan dalam UMNO ini tiada kompetensi untuk bergerak sebagai pentadbir dalam kerajaan. Sebab mereka tiada kompetensi adalah juga kerana mereka datang dari corak pemilihan kepimpinan di akar umbi yang lebih mementingkan kepada pemilihan ketua yang pandai ‘menjaga’ ahlinya sahaja, bukan dilihat kepada kemampuan mereka bekerja, berhujah atau segala macam yang diperlukan sebagai seorang yang boleh membawa suara rakyat. Banyak Pemimpin yang dipilih ini dilihat bijak merencana sokongan ‘artificial’supaya dilihat hebat, maka tinggalah mereka yang benar benar berbakat dan mempunyai segala ciri kepimpinan yang boleh mempengaruhi rakyat secara keseluruhan ini, tenggelam begitu sahaja hanya kerana disebabkan mereka ini tidak pandai mengampu dan tiada dana yang untuk dihamburkan kepada ahli untuk mendapatkan sokongan.
Bila ini terjadi maka yang diangkat menjadi calon untuk berdepan dengan peperangan sebenar ini hanya pandai menunjukkan diri dimedia membantu rakyat untuk menarik sokongan, yakni amat bagus sebagai seorang pemimpin tetapi tidak cukup kompeten sebagai ahli politik yang boleh menarik sokongan massa, sedangkan dalam fitrah manusia, manusia lebih suka kepada sesuatu perkara sensasi yang boleh mencetuskan semangat mereka untuk turut bersama sama pemimpin berjuang. Rakyat juga lebih suka kepada pemimpin yang boleh berada sama taraf dengan mereka, bukan pemimpin yang bermegah dengan sambutan VIP oleh pengikut2 mereka supaya dilihat hebat. Inilah yang tiada pada ramai pemimpin UMNO dan ini diambil kesempatan secukupnya oleh pihak pembangkang untuk dilihat dekat dengan rakyat.
Akibat politik dalaman sebegini sayap sayap UMNO juga dilihat lesu dalam merencana gerakan untuk kelompok sasaran masing masing, hanya tertumpu kepada program program yang terikat dengan protokol kerajaan seperti karnival, dan segala macam yang sepatutnya digerakkan oleh jentera kerajaan. Mereka tidak kreatif dalam mengadakan sesuatu gerakan yang bersifat agresif mempertahankan dasar dasar kerajaan untuk rakyat jadikan alasan untuk terus memilih UMNO. Semua gerakan sebegini dilepaskan pada bahu NGO dan menunggu melihat apa hasilnya, sekiranya gagal, maka mereka akan mengkambinghitamkan NGO tersebut sebagai punca kegagalan bagi menutup sikap pasif mereka dalam menjana sokongan rakyat.
Disebabkan tiada pilihan maka muncul ramai menteri yang kurang kompeten memimpin kementerian masing masing bila berdepan dengan isu, mereka menjadi kaku dalam bertindak bilamana berdepan isu yang melibatkan rakyat, di Parlimen, contohnya hanya beberapa Ahli Parlimen sahaja yang mampu menjawab dengan tuntas persoalan yang diutarakan oleh Pembangkang, tapi ramai juga dilihat hanya pandai membaca sahaja jawapan yang disediakan oleh pegawai masing masing menyebabkan rakyat melihat tiada keyakinan dalam diri ahli parlimen atau menteri untuk rakyat sandarkan walau jawapan yang dikeluarkan itu benar dan berfakta. Ada juga yang tidak bijak bila berdepan dengan wartawan dengan mengeluarkan kenyataan ‘bergurau’ yang akan dipetik akhbar sebagai tajuk utama untuk disensasikan, akhirnya menaikkan kemarahan rakyat dan terkial kial si penyokong pula mencari jawapan untuk membela mereka.
Jadi sempena pemilihan UMNO yang bakal berlangsung ini dengan format baharu ini, rejuvansikanlah UMNO, transformasikanlah UMNO atau apa sahaja istilah agar UMNO berubah untuk terus relevan kepada orang melayu sandarkan harapan demi kelangsungan generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment