Monday, October 7, 2013

1,703 perwakilan, calon UMNO muflis


Kuala Lumpur: Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan UMNO bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis. 

146,000 pewakilan 
Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muf lis oleh Jabatan Insolvensi. 


Berikutan itu, pemilihan bagi jawatan peringkat pusat pada 12 dan 19 Oktober ini akan menyaksikan 260 calon bertanding, termasuk calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Tun Faisal Ismail Aziz yang sebelum ini dipertikaikan kelayakannya. 

Bagaimanapun, seorang lagi calon MT, Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman tidak dibenarkan bertanding kerana gagal melepasi kelayakan. 

Jumlah calon peringkat bahagian yang tidak layak adalah 868 orang dengan 334 daripadanya muflis, 495 menarik diri dan 39 dikenakan tindakan disiplin. 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, berkata Tun Faisal dibenarkan bertanding berdasarkan pertimbangan MT dan Jawatankuasa Pemilihan demi kesempurnaan perjalanan parti. 
Mengikut Fasal 9.5 Perlembagaan UMNO, seorang yang hendak bertanding di peringkat MT perlu pernah menjadi ahli MT atau ahli jawatankuasa bahagian selama satu penggal. 

Dalam kes Tun Faisal, dia adalah calon yang diketengahkan oleh Pemuda UMNO dan jawatankuasa pemilihan berpendapat mengikut Fasal 10.15, MT boleh mengambil tindakan demi kesempurnaan perjalanan parti, katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam. 

Hadir sama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Datuk Tajuddin Harif. 

Sementara itu Ab Rauf berkata, ibu pejabat parti akan memaklumkan kepada calon yang tidak dibenarkan bertanding menerusi bahagian secepat mungkin. 

Mengulas tindakan disiplin, beliau berkata ia disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO berhubung kes mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. 

Mengenai perwakilan yang muflis, beliau berkata, salinan Jabatan Insolvensi akan disertakan kepada semua bahagian bagi memastikan perwakilan tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat bahagian. 

Katanya, tindakan melarang perwakilan terbabit menghadiri mesyuarat selaras dengan Perlembagaan UMNO dan Pendaftar Pertubuhan (ROS). 

Mengikut peraturan ROS, mereka yang muflis tidak boleh dipilih atau memilih kecuali untuk peringkat cawangan. Ini bermakna mereka tidak layak mewakili cawangan ke peringkat bahagian dan perhimpunan agung. 

Perwakilan yang hilang kelayakan tidak boleh diganti dengan perwakilan lain, katanya.

No comments:

Post a Comment