Tuesday, October 15, 2013

Umno Pantau 'Cai' Senarai Calon


Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, adalah menjadi satu kesalahan di bawah kod etika Umno sekiranya ada pihak tertentu mengedarkan senarai nama 'calon pilihan' bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi untuk dipilih oleh 146,500 perwakilan.
Dikenali sebagai 'cai' dari perkataan 'cai dan', dalam bahasa Mandarin yang bermaksud menu atau 'senarai pilihan' - iaitu senarai yang mengandungi nama pemimpin-pemimpin tertentu.
Sebagai contoh, jika seseorang Ketua Bahagian itu sudah membariskan senarai calon A, B dan C sebagai piliha, maka senarai yang mengandungi nama-nama mereka akan dimasukkan ke dalam cai tersebut dan diedarkan kepada perwakilan dari bahagian itu.
Ab Rauf memberi amaran ekoran wujudnya beberapa aduan apabila terdapat calon-calon yang sedang bekerjasama dengan ketua-ketua bahagian bertujuan mempengaruhi perwakilan untuk mengundi calon pilihan yang ditetapkan.
"Tidak perlu apa-apa cai dalam pemilihan kali ini kerana ibu pejabat Umno telah menyediakan satu set buku yang mengandungi maklumat, termasuk gambar-gambar semua calon yang bertanding untuk Majlis Tertinggi dan sayap parti.
"Perwakilan hendaklah diberi kebebasan untuk membuat pilihan mereka sendiri dan tiada siapa yang seharusnya mempengaruhi mereka," katanya.
Rauf berkata, tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang berbuat demikian jika laporan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti.
Pada pemilihan sayap parti itu pada Sabtu lalu, seorang perwakilan Pemuda Umno Merbok mendakwa perwakilam tidak diberikan buku senarai calon sebaliknya 'cai.
Kewujudan 'cai' dalam pemilihan Umno adalah satu rahsia terbuka sementara parti politik lain turut diketahui mempunyai kaedah 'cai' mereka yang tersendiri.
Menurut seorang ahli Umno yang terlibat dalam proses pengundian kepimpinan parti pada pemilihan Umno 1995, 'cai' adalah panduan yang berguna kepada perwakilan kerana jawatankuasa pemilihan tidak menyediakan senarai calon yang bertanding.
Apabila terdapat begitu ramai senarai calon-calon yang perlu dipilih, 'cai' adalah medium yang berguna, katanya.
"Senarai ini akan dicetak pada kepingan kertas kecil yang dengan mudah boleh dimuatkan ke dalam kotak-kotak rokok supaya perwakilan boleh 'menyeludup' masuk ke tempat mengundi," katanya.

No comments:

Post a Comment