KUALA LUMPUR: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sentiasa mengamalkan prinsip 'SIS', singkatan bagi 'Sedar, Insaf dan Syukur' untuk membina kekuatan diri bagi menghadapi cabaran hidup.
SIS membantu beliau menikmati ketenangan jiwa dan kegembiraan, katanya pada majlis pelancaran edisi kedua buku bertajuk 'Self-empowerment: Live Life to the Full' karangan penceramah motivasi Datuk Bridget Menezes di sini Rabu.
Hasmah, antara segelintir wanita di negara ini yang menceburi bidang kedoktoran pada 1950-an serta isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiga prinsip itu boleh memberi kesan positif kepada manusia dan menjadikan mereka bersifat reda.
Katanya prinsip itu akan membantu seseorang mengenali diri sendiri, menyedari kelemahan dan kekuatan masing-masing serta sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka miliki dan menghargai peluang yang ada.
Hasmah berkata manusia perlu lebih banyak tersenyum kerana "senyuman boleh mengubati semua keadaan dan apabila kita senyum, perasaan yang wujud di sanubari kita akan terpancar ke wajah kita untuk menjadikannya berseri-seri."
Sementara itu, Menezes berkata buku berkenaan boleh membantu seseorang menikmati kedamaian jiwa dan menyebarkannya kepada orang lain serta seluruh masyarakat.
Buku ini juga boleh membantu meningkatkan harga diri, keyakinan jiwa dan kemampuan seseorang dalam menghadapi kesusahan dengan semangat lebih kental, kata perunding kemajuan diri dan pemikiran positif itu.
'Self-empowerment: Live life to the full', edisi baharu daripada edisi pertama terbitan 2004, merupakan himpunan catatan pengalaman, pemikiran dan kenang-kenangan yang mampu menyuburkan jiwa pembacanya.
Buku ini boleh didapati di kedai buku terkemuka pada harga RM45 senaskhah. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment