Sunday, September 1, 2013

Perincian Kaedah Pemilihan Baru UMNO Akan Diumum Tiga Minggu Lagi


Kuala Lumpur, 1 Sep – Pengurusan Ibu Pejabat UMNO Malaysia sedang mengadakan kajian dan rumusan dalam tempoh tiga minggu ini untuk memastikan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat mengikut kaedah dan sistem baru pemilihan dapat dijalankan dengan sempurna.
Menurut Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Dato Rauf Ab.Yusoh, kajian dan rumusan bagi perkara tersebut akan cuba diselesaikan sebelum tempoh pendaftaran calon pada 21 September ini.
rauf-yusoh-suk-umno-pemilihan-pindaan-perlembagaan-raya
“Ia dilakukan adalah untuk memastikan kaedah pemilihan baru ini dapat menjadi kaedah terbaik bagi pemilihan pemimpin khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita akan adakan satu sidang media khas bagi melihat kaedah pemilihan baru ini untuk diwar-warkan kepada umum dalam masa yang terdekat, selepas selesai kajian dan rumusan berhubung  perkara ini. Mungkin lebih kurang dalam tempoh tiga minggu lagi,”jelas beliau kepada pemberita di program rumah terbuka di kediaman beliau di Ukay Perdana.
Menurut beliau lagi, kajian dan rumusan yang  dilakukan oleh ibu pejabat UMNO itu akan meliputi dari semua sudut pemilihan seperti kaedah pendaftaran, pemilihan, cara menjalankan undian serentak termasuk kaedah pengiraan undi.
Selain itu, Rauf memberitahu simulasi pemilihan bagi mereka yang terlibat sebagai pegawai pengurus pemilihan juga akan diadakan dalam tempoh terdekat sebagai persiapan dan latihan bagi mereka yang terlibat  agar sistem pemilihan baru yang pertama kali digunapakai  ini dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.
Sementara itu, rumah terbuka beliau meriah dihadiri lebih dari lima ribu jemputan dari pelbagai lapisan masyarakat.
Lebih memeriahkan suasana apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut meluangkan masa untuk hadir pada majlis rumah terbuka tersebut.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 8.45 malam disambut meriah oleh tetamu yang hadir.
Najib kemudiannya diminta untuk memotong “Kek Merdeka”, sebagai simbolik sambutan hari kemerdekaan dengan diiringi oleh Naib Presiden UMNO, Dato Zahid Hamidi, Ketua Penerangan UMNO, Dato Ahmad Maslan dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Jalil.
Turut kelihatan hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Dato Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Besar Kedah, Dato Mukhriz Mahathir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan, Menteri Pertahanan, Dato Seri Hishamuddin Hussein Onn,  Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Datuk Seri Ali Rustam, pelakon veteran Dato Mustapha Maarof, Presiden Seniman, Zed Zaidi dan beberapa kenamaan lagi.
Pelbagai juadah disajikan kepada para tetamu yang hadir selain daripada persembahan tarian Melayu dan persembahan nyanyian tradisional Melayu.

No comments:

Post a Comment