Pemilihan Umno: Antara Watak dan Dasar
A Kadir Jasin
PEMILIHAN kepemimpinan Umno semakin panas. “Hot” kata bahasa jalanan anak-anak muda dewasa ini.
Tetapi, umpama kereta api, adakah yang panas itu kepalanya (locomotive) atau gerabaknya yang berisi penumpang yang “gumbira” (meminjam bahasa P. Ramlee) dan kargo yang berharga?
Kalau kepalanya saja yang “hot” tetapi penumpangnya moyok, meragam, meluat, menyampah dan tidak sabar turun atau mahu lokomotif baru menarik mereka pun tidak berguna juga.
Kereta api wap KTM panas, bising dan berasap. Saya nostalgi. Inilah kereta api zaman muda saya. |
Tetapi setakat hari ini, apa yang dilaporkan oleh media massa memberi gambaran pemilihan kepemimpinan Umno adalah mengenai kepala kereta api.
Mungkin saya terlepas pandang. Yang saya baca hanya seorang sahaja daripada banyak orang yang menawarkan diri sebagai calon dilaporkan bercakap mengenai gerabak, penumpang dan muatan iaitu Mohd Ali Rustam yang berkata dia mahu memperjuangkan semula asas penubuhan Umno.
Kalau setakat hendak memilih kepemimpinan dan mencari ganjaran peribadi jangka pendek, tidak perlulah ahli Umno bersusah payah memeras otak. Pilih saja yang koceknya dalam dan prinsipnya cetek.
Apa Orang Umno Mahu?
Tetapi kalau mereka mahu kepemimpinan yang berjiwa perjuangan dan mampu menebus semula maruah parti dan kembali memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara, mereka perlulah memilih yang lebih baik.
Kalau mereka mahu orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain diberikan peluang untuk membebaskan diri mereka daripada terus menjadi warga ekonomi kelas tiga, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang cerdik, berani, berilmu dan berwawasan.
Kalau mereka berasa dasar pertumbuhan ekonomi yang disertai oleh pembahagian adil seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) baik untuk mereka, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang tidak “apologitic” memperjuangkan hak majoriti.
Soalnya (soalnya), akan adakah dalam barisan calon Umno nanti orang seperti itu? Atau, seperti kata P. Ramlee, walhasil balik asal itu pasal tak hasil.
Masih adakah lagi pewaris Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Tun Dr Mahathir di kalangan kepemimpinan dan calon pemimpin Umno dewasa ini?
Masih pedulikan kepemimpinan Umno kepada kedudukan orang Melayu dan Bumiputera lain yang berupa majoriti dalam kelompok 40 peratus rakyat jelata terkebawah dalam arena ekonomi?
Selepas menyalahkan kehambaran pencapaian Barisan Nasional kepada tsunami Cina, adakah Mohd Najib dan kepemimpinan Umno akan mengucapkan terima kasih kepada orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah kerana menyelamatkan BN dan Umno pada 5 Mei lalu dengan memberikan mereka apa yang telah diabaikan?
Apakah Mohd Najib akan membentangkan agenda Melayu, agenda Bumiputera dan agenda rakyat miskin yang lestari (sustainable) sebelum atau ketika Perhimpunan Agung Umno kali ini?
Gila "Wow Factor" Lagikah?
Atau adakah Mohd Najib dan barisan penasihatnya (yang sama panjang kereta api kontena Butterworth-Padang Besar) akan terus melaksanakan strategi “war room” PRU 2013 mereka yang tidak menjadi?
Kereta api berlokomotif diesel angkut kontena. Selamat, jimat, cepat. |
Adakah mereka akan memberikan gula-gula seperti biasa dan melaksanakan dasar-dasar yang tidak lestari semata kerana mahu cepat menuai hasil?
Kalau “faktor wow” yang mereka mahu, jawapannya mudah saja – turunkan harga petrol dan diesel 30 sen seliter dan umumkan BR1M ketiga sebanyak RM1,000 atau lebih sebelum penamaan calon 28 September dan pengundian 19 Disember ini.
Kepada para bekas Menteri, para bekas Adun dan MP, para pemikir yang idealistik dan kepada semua yang kerap bermimpi di siang hari mengenai agenda Melayu dan agenda “growth with equity” nasihat dua sen saya mudah saja.
Kalau ada orang menjanjikan kita segelas air, kita jangan percaya sehinggalah kita minum dan tidak mati keracunan. Moralnya jangan mudah sangat percaya dan wajib sentiasa ada penawar racun berbisa.
Isyak-Allah kita selamat, bangsa kita selamat, negara kita selamat dan agama kita selamat dan orang Melayu boleh berkata “I am Malay first” tanpa diherdik oleh orang bukan Melayu.
Akhir kalam, adakah aspirasi Tun Abdul Razak masih mengalir dalam darah daging Umno?
Kuasa, kata beliau, terletak di tangan masyarakat Melayu dan untuk memanfaatkan kuasa itu, orang bijak di kalangan orang Melayu haruslah terdiri daripada elit yang ditentukan oleh kebolehan, sikap dan komitmen kepada negara keseluruhannya. Kelas, kelahiran dan wang bukanlah faktor utama
No comments:
Post a Comment