KUALA LUMPUR - Anggota parti yang bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan Exco ketiga-tiga sayap dalam pemilihan Umno 2013 berpeluang memperkenalkan diri mereka dalam sesi pengenalan calon bermula awal bulan depan.
Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata jadual sesi pengenalan calon lima hari itu telah diedarkan ke seluruh Badan Perhubungan Umno negeri bagi memudahkan calon bertanding jawatan Umno pusat mengetahui tarikh program itu akan dilaksanakan.
"Bagi memudahkan gerak kerja calon-calon untuk mengenalkan diri... mereka boleh memperkenalkan diri di majlis yang dianjurkan oleh ibu pejabat dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno negeri-negeri.
"Maka, inilah sesi yang dibenarkan Lembaga Disiplin untuk calon-calon memperkenalkan diri," katanya kepada pemberita pada sesi pengumuman senarai calon yang bertanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Sebanyak 260 calon bertanding jawatan Umno pusat selepas Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman menarik diri daripada bertanding Naib Ketua Wanita. Pemilihan bagi Exco ketiga-tiga sayap diadakan pada 12 Oktober dan MT pada 19 Oktober.
Pada 1 Oktober, sesi pengenalan dimulakan di utara Semenanjung bermula dengan Perlis pada pukul 9.30 pagi, Kedah (3.30 petang) dan Pulau Pinang (8.30 malam).
Seterusnya, pada 4 Oktober, sesi memperkenalkan diri diteruskan di Perak pada pukul 9.30 pagi, Selangor (3.30 petang) dan Wilayah Persekutuan (8.30 malam).
Sesi itu akan diadakan di Kelantan pada 6 Oktober pukul 9.30 pagi, Terengganu (3.30 petang), Pahang (9 malam) dan 8 Oktober di Negeri Sembilan (9.30 malam), Melaka (3.30 petang) dan Johor (8.30 malam).
Bagi Sabah, sesi pengenalan calon diadakan di Badan Perhubungan Umno Sabah pada pukul 3.30 petang, 9 Oktober. - Bernama
No comments:
Post a Comment